UPM-MPOC Menganjurkan Program CEO Day@UPM 2019 | PUSAT HUBUNGAN DAN JARINGAN INDUSTRI (CiRNeT)
» BERITA » UPM-MPOC Menganjurkan Program CEO Day@UPM 2019

UPM-MPOC Menganjurkan Program CEO Day@UPM 2019

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA, April 18, 2019 – Program CEO Day@UPM 2019 dianjurkan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan Pusat Hubungan & Jaringan Industri, Pejabat TNC JINM dan Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM), bersama Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC). Program ini dianjurkan bersempena dengan kempen ‘Sayangi Sawitku’ yang telah dilancarkan oleh Kementerian Industri Utama (MPI) pada Mac 2019 sebagai kempen selama setahun untuk memupuk penghargaan yang mendalam dan sifat sayang terhadap minyak sawit Malaysia. Dengan bertemakan ‘Jumpa CEOs dan Mendapat Kerja!’, program ini telah berlangsung di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan & Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM Serdang, Selangor dari 8.30 a.m. hingga 5 p.m yang dihadiri seramai 1000 peserta-peserta dan pempamer-pempamer.

Acara ini dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris, Naib Canselor UPM. Kemudian telah diikuti dengan ucapan oleh YB Teresa Kok, Menteri MPI. Sejurus selepas itu forum Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) telah berlangsung yang dipengerusikan oleh Datuk Dr. Kalyana Sundram, CEO MPOC, bersama tiga CEO yang lain daripada pelbagai sektor sebagai ahli panel.

Objektif program ini adalah untuk membawa kapten industri ke kampus dan berkongsi pengalaman mereka bersama pelajar-pelajar universiti. CEO pertama yang dijemput ialah Encik Joseph Tek Choon Yee, merupakan CEO dan Pengarah Urusan IJM Plantations Berhad. Encik Joseph telah berkongsi mengenai penglibatan IJM Plantantions Berhad dalam industri minyak sawit melalui ucapannya yang bertajuk ‘Fun and Engaging - Does it Sound Like The Palm Oil Industry?’ CEO yang kedua ialah Puan Nur Fatin Datuk Seri Ibrahim, Pengarah Urusan Kumpulan Dewina Holdings Sdn Bhd yang bercakap mengenai sektor pengeluaran makanan dalam ucapannya yang bertajuk ‘Challenges and Trends in Food Industry: Do You Have What it Takes to Thrive in the Food Manufacturing Sector?’ CEO ketiga ialah Encik Seelan Paul, merupakan CEO Media Prima Radio Networks yang telah berkongsi pengalamannya melalui ucapannya yang bertajuk ‘Staying Relevant: How to Create Impact in the Current Internet Age?’

Selain dari itu, satu lagi acara kemuncak adalah pelancaran Persatuan Tenera UPM (TENERA). Persatuan ini telah ditubuhkan di UPM berikutan kejayaan Program Duta Sawit Pelajar yang telah diadakan pada 22 Disember tahun lepas. Program ini dianjurkan oleh FSTM, UPM dengan kerjasama MPOC. Objektif TENERA ialah untuk menyampaikan pengetahuan yang tepat berkenaan minyak dan industri kelapa sawit kepada pelajar-pelajar di institusi pengajian tinggi terutamanya di kalangan pelajar UPM. Disamping itu, para pelajar yang berdaftar dalam persatuan ini akan diambil kira sebagai duta muda yang akan terlibat dalam program yang berkaitan dengan industri minyak sawit. Penubuhan persatuan ini juga akan membantu dalam membangunkan keupayaan kepimpinan, kemahiran komunikasi, dan semangat berpasukan di kalangan pelajar UPM. Ahli-ahli persatuan juga ini terlibat dalam menganjurkan CEO Day@UPM 2019 sebagai ahli jawatankuasa.

Serentak dengan berlangsungnya program ini, satu sesi pameran juga telah berjalan melibatkan 14 pempamer yang terdiri daripada agensi-agensi Kerajaan dan Bukan Kerajaan seperti MPOC, UPM, FSTM UPM, Perhilitan, WWF-Malaysia, FGV Holdings Berhad, Felcra Berhad, MPOCC, Yayasan Sime Darby serta industri termasuk Khalis Santan Sawit, Excelvite Sdn. Bhd., Bioley, Mac World Industries, Palm Fiber Sdn. Bhd., PGEO Edible Oil Sdn Bhd dan Texas Chicken Malaysia. Kebanyakan pameran adalah berkaitan dengan dengan sektor pertanian, makanan dan produk berasaskan sawit. Pada masa yang sama, temuduga terbuka untuk para pelajar juga dijalankan oleh beberapa syarikat yang sedang mencari pekerja atau pelajar latihan industri. Disamping itu, kotak letak resume juga disediakan untuk syarikat-syarikat yang bukan peserta pameran semasa program ini berlangsung, namun berminat untuk menawarkan peluang pekerjaan dan penempatan latihan industri kepada palajar universiti. Sebagai tambahan kepada latihan industri dan peluang pekerjaan, Yayasan Sime Darby juga menawarkan peluang biasiswa kepada pelajar yang layak dan berminat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Master atau PhD di UPM.

Di samping itu, Pertandingan Kuiz Minyak Sawit Intervarsiti yang bertemakan “Kelapa Sawit: Sejarah dan Sains” telah diadakan pada sebelah petang yang melibatkan pelajar yang terpilih dari pelbagai institusi pengajian tinggi. Antara aktiviti interaktif lain yang dijalankan ialah ‘Foodies Quiz’, demonstrasi penyediaan produk makanan dan produk bukan makanan yang berasaskan kelapa sawit, ‘uji-rasa makanan’, cabutan bertuah, serta kopi dan pastry percuma dari L’Apprenti Café, FSTM UPM. Buat julung kalinya, Putra Creamery, syarikat permulaan oleh Innohub UPM memperkenalkan premix ais krim minyak kelapa sawit merah kepada orang ramai. Premix ais krim segera tersebut menggunakan teknologi yang dipatenkan dengan minyak sawit sebagai salah satu kandungannya.

Program ini berjaya merapatkan pelajar universiti dengan CEO yang dijemput. Di masa depan, pihak MPOC merancang untuk memperluaskan program ini ke universiti lain dengan menggunakan UPM sebagai model. UPM telah menerima peruntukan khas dari MPOC berjumlah RM80, 000 untuk menganjurkan program ini.

 

Tarikh Input: 27/05/2019 | Kemaskini: 27/05/2019 | syam

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT HUBUNGAN DAN JARINGAN INDUSTRI (CiRNeT)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 1261
-
SXEZCA5~