Program Knowledge And Sharing Outreach Oleh MIDA | PUSAT HUBUNGAN DAN JARINGAN INDUSTRI (CiRNeT)
» BERITA » Program Knowledge and Sharing Outreach oleh MIDA

Program Knowledge and Sharing Outreach oleh MIDA

SERDANG - Malaysian Investment Development Authority (MIDA) merupakan agensi utama untuk menyelia dan memacu pelaburan ke dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan di Malaysia. Bermula dari tahun 1967, MIDA telah diberi mandat untuk menggalakkan pelaburan dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan dan turut berperanan sebagai penasihat kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengenai perkara-perkara industri termasuk menggubal polisi yang berkaitan. Perkhidmatan MIDA termasuk menyediakan maklumat mengenai peluang-peluang pelaburan dan membantu syarikat-syarikat yang mencari rakan usaha sama.

 

Sehubungan dengan itu, MIDA telah datang berbincang dengan pihak UPM untuk bekerjasama dalam bidang penyelidikan iaitu berhasrat menyalurkan grant dalam penyelidikan dan seterusnya mengadakan Program Knowledge Sharing and Outreach kepada pelajar Tahun Akhir sebaik selesai sesi mesyuarat di antara wakil UPM dan MIDA yang telah diadakan pada 29 November 2013 bertempat di Fakulti Kejuruteraan. Hasil perbincangan, MIDA telah mempelawa penyelidik-penyelidik UPM untuk memohon grant penyelidikan menerusi MIDA dan diharap produk penyelidikan tersebut dapat dikomersialkan.

 

Bagi Program Knowledge Sharing and Outreach, delegasi MIDA telah membuat pembentangan tentang peranan dan tanggungjawab MIDA sebagai pemangkin ekonomi negara.  Program ini menyasarkan penyertaan dari pelajar Tahun Akhir bagi pelajar-pelajar sama ada dari program prasiswazah dan pelajar-pelajar pasca siswazah. Faedah yang dapat dilihat menerusi program ini, di mana pelajar berpeluang untuk bertanya secara terus kepada delegasi MIDA tentang peluang kerjaya menerusi MIDA sama ada dalam negara atau di luar negara.

 

Sewaktu sesi soal jawab berlangsung, Mr. Yee Nai Tuck iaitu Pengarah Malaysian Investment Development Authority (MIDA) telah mengambil peluang untuk memberi maklum balas kepada pertanyaan yang diajukan oleh pelajar yang hadir. Program ini diharap dapat menjana input dan pengetahuan tambahan kepada pelajar yang hadir bagi melengkapkan diri sebelum melangkah ke alam kerjaya sebaik tamat pengajian di UPM.

 

Pusat Hubungan dan Jaringan Industri berharap program perkongsian ilmu dengan pihak Industri akan sentiasa mendapat sokongan dan penglibatan dari pelajar-pelajar UPM. Peluang bersemuka secara terus dengan pihak Industri sewajarnya menjadi platform kepada pelajar mengintai peluang kerjaya dan sekali gus memberi ruang penambahbaikan kepada pelajar bagi merealisasikan hasrat menjadi pelajar yang holistik dan berdaya saing.

 


Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT HUBUNGAN DAN JARINGAN INDUSTRI (CiRNeT)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 1261
-
SXETJAy~