Program Experience Works Cetus Peluang Pelajar Rasai Dunia Kerjaya Sebenar | PUSAT HUBUNGAN DAN JARINGAN INDUSTRI (CiRNeT)
» BERITA » Program Experience Works Cetus Peluang Pelajar Rasai Dunia Kerjaya Sebenar

Program Experience Works Cetus Peluang Pelajar Rasai Dunia Kerjaya Sebenar

Pelajar-pelajar cemerlang yang terpilih untuk menyertai program Experience Works Yayasan Sime Darby bergambar bersama Pengarah, Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar, Prof Madya Dr. Abdul Rashid Jamian (tengah), En. Rudie Tajuddin (Pegawai Perhubungan


SERDANG-Senario pelajar bekerja sambil belajar bukan perkara asing di kalangan pelajar UPM. Tuntutan dan keperluan hidup memerlukan pelajar bertindak dan memikirkan cara bagi menampung keperluan hidup di kampus. Pelajar memilih alternatif bekerja di restoran segera atau pasaraya menjadi pilihan mudah di kalangan mereka. Perkara ini telah memberi idea kepada pihak Yayasan Sime Darby untuk memperkenalkan projek Experience Works.

Projek perintis ini disasarkan kepada pelajar Tahun 1 yang mana seramai 25 orang pelajar akan dipilih menyertai. Pelajar-pelajar ini akan ditempatkan bertugas dipejabat pentadbiran atau fakulti bagi melakukan tugas-tugas pentadbiran pejabat dan dibayar gaji melalui sumbangan dana oleh pihak Yayasan Sime Darby. Jenis pekerjaan yang akan dibuat lebih tertumpu kepada kerja-kerja pengkeranian atau kerja-kerja pejabat yang bersesuaian bagi memberi pendedahan pengalaman dunia kerja sebenar. Program ini sekaligus merupakan serampang dua mata kepada pelajar khususnya dan kepada UPM serta pihak industri amnya.


UPM sebagai pusat kecemerlangan ilmu memberi ruang dan peluang kepada pelajar untuk meneroka alam kerjaya sewaktu bergelar pelajar. Peluang ini jarang dirasai dan memberi satu pengalaman serta mematangkan pelajar menghadapi senario dan masalah-masalah ‘sebenar’ di alam kerjaya. Ianya sekaligus memberi nilai tambah kepada pelajar tersebut supaya dikategorikan ‘berbeza’ dari pelajar lain sebaik bergraduat. Pengetahuan dan pengalaman ini tidak dapat digapai sewaktu sesi kelas tetapi merupakan pengalaman sebenar yang dirasai oleh pelajar sendiri.

Selain itu, pengalaman kerja ini boleh dimuatkan dalam resume pelajar dan menjadi sumber rujukan pengalaman bekerja sewaktu memohon pekerjaan sebaik bergraduat. Peranan Pusat Hubungan dan Jaringan Industri (CiRNeT) dalam membuka pintu kerjasama strategik industri kepada UPM telah membuahkan hasil setelah berjaya menyakinkan pihak Yayasan Sime Darby untuk memilih UPM bagi melaksanakan program ini di bawah seliaan sepenuhnya oleh Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP).

Melalui program Experience Works ini, Yayasan Sime Darby akan menyumbang dana sebanyak RM 250,000.00 setahun dan kerjasama ini akan berlangsung selama empat tahun yang secara keseluruhan menjana pendapatan sebanyak RM1juta kepada UPM. Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar, UPM akan menyediakan pelajar yang bersesuaian mengikut kriteria yang telah ditetapkan oleh Yayasan Sime Darby. Peranan Yayasan Sime Darby dalam penyaluran dana kepada aktiviti pembangunan modal insan dan manakala Universiti sebagai tempat melahirkan sumber tenaga kerja profesional merupakan satu gabungan yang mantap bagi merealisasikan hasrat melahirkan modal insan berkualiti dan berketerampilan tinggi.

Sehubungan dengan itu, satu memorandum perjanjian antara UPM dan Yayasan Sime Darby diadakan bagi memeterai kerjasama ini. Rentetan dari pelaksanaan program Experience Works ini, satu sesi taklimat bersama pelajar yang terpilih untuk menyertai program ini telah diadakan pada 10 September 2013, yang dikelolakan oleh Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar.

Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar, Prof. Madya Dr. Abdul Rashid Jamian menjelaskan bahawa peluang ini sewajar menjadi ruang untuk belajar secara terus dalam bidang pengurusan pentadbiran khususnya. Menurutnya lagi, bahawa “Pengalaman kerja ini boleh dimuatkan ke dalam resume dan merupakan satu kelebihan kepada pelajar kerana berpeluang merasai pengalaman bekerja di usia muda dalam bidang pengurusan pentadbiran pejabat”

Prof. Madya Dr. Abdul Rashid Jamian turut melahirkan hasrat bahawa pelajar yang mengikuti program ini akan menjadi pelajar yang lebih holistik dan berdaya maju. Pelajar ini secara tidak langsung merupakan ‘duta’ kepada Yayasan Sime Darby dan memberi gambaran pelajar UPM tidak bertumpu kepada kecemerlangan akademik tetapi secara menyeluruh termasuk persediaan mental dan spiritual sebelum menempuh alam kerjaya sebaik bergraduat.

Seramai 25 orang pelajar yang merupakan antara pelajar cemerlang ini telah memulakan sesi ‘kerja’ mereka di Pusat Tanggungjawab di bawah pengurusan Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni). Pelajar-pelajar ini dipantau sepenuhnya oleh Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar dan Yayasan Sime Darby.

Rata-rata pelajar yang terpilih melahirkan rasa gembira dengan pemilihan mereka untuk menyertai projek ini dan merasakan peluang ini sebagai satu bonus kepada mereka kerana dapat menimba pengalaman dalam dunia kerjaya sewaktu di alam kampus lagi. Tambahan pula, ianya membantu mengembangkan potensi pelajar apabila ada dikalangan pelajar terpilih merupakan pelajar yang bergelumang dengan haiwan dan pokok-pokok tetapi bertukar suasana apabila menguruskan kerja-kerja melibatkan penkeranian dan pengurusan pentadbiran pejabat.

Prof. Madya Dr Azizan Asmuni, Pengarah, Pusat Hubungan dan Jaringan Industri (CiRNeT) berharap pelajar yang terpilih menggunakan sepenuhnya ruang dan peluang yang ada untuk menimba pengalaman kerjaya di kampus. Selain itu, diharap perkongsian idea sebegini dapat membuka lebih banyak peluang kolaborasi dari syarikat-syarikat lain untuk menaja dan membuka peluang kepada pelajar merasai alam pekerjaan sewaktu belajar dan tidak terhad kepada latihan industri dan peluang kerjaya sahaja.


Oleh: Che Zailawati Abdul Ghani

Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar beramah mesra setelah menyampaikan taklimat dan matlamat pelaksanaan program Experience Works kepada pelajar-pelajar yang terpilih.


Sesi Perbincangan Awal yang dihadiri wakil dari Pusat Hubungan dan Jaringan Industri dan Pusat Kokurikulum dan Keusahawanan Pelajar bagi merangka pelaksanaan program Experience Works Yayasan Sime Darby di UPM


Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT HUBUNGAN DAN JARINGAN INDUSTRI (CiRNeT)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 1261
-
SXEUBAP~