CiRNeT Cari Peluang Kolaborasi Dengan Tan Chong Education | PUSAT HUBUNGAN DAN JARINGAN INDUSTRI (CiRNeT)
» BERITA » CiRNeT cari peluang Kolaborasi Dengan Tan Chong Education

CiRNeT cari peluang Kolaborasi Dengan Tan Chong Education

PETALING JAYA – Apabila anda menyusuri lebuh raya pastinya mata akan terpandang paparan iklan gergasi yang menjadi penghias di kiri dan kanannya. Nama besar seperti Tan Chong Group atau Tan Chong Motors merupakan nama-nama yang sering menjadi penaja kepada rancangan-rancangan berprestij tanah air dan sekali gus merupakan salah satu industri permotoran yang telah mencipta nama di Malaysia.

Sehubungan dengan itu, Pusat Hubungan dan Jaringan Industri (CiRNeT) telah mengintai ruang dan peluang untuk menjalin kolaborasi dengan Tan Chong Group, dan secara terperinci kerjasama ini akan dijalinkan antara UPM dan Tan Chong Education.

Pada 18 September 2013, satu sesi perbincangan telah diadakan dengan pihak Tan Chong Education untuk merangka kolaborasi yang boleh diadakan antara kedua-dua pihak. Hasil perbincangan awal ini, Tan Chong Education telah menyuarakan hasrat bekerjasama dengan UPM untuk menjayakan Asia Green Conference 2013 anjuran Tan Chong Education yang telah diadakan pada 3-4 Disember 2013 bertempat di Sunway Pyramid Convention Centre.

Objektif Asia Green Conference 2013 ini diadakan bagi meningkatkan kesedaran dan kefahaman sekali gus menawarkan sumber dan sokongan untuk industri, individu dan institusi pendidikan bagi meningkatkan kemahiran dan pengetahuan dan meneruskan kelestarian untuk melindungi dan meningkatkan kualiti alam sekitar sewaktu konteks bekerja dan kehidupan amnya. Secara khususnya, sesi Asia Green Conference 2013 ini menambahkan pengetahuan dan kemahiran mengenai bagaimana untuk mengurangkan penggunaan tenaga tetapi tidak menjejaskan operasi dan output penghasilan industri setiap hari.

Tan Chong Education telah berbesar hati untuk melantik Prof. Dr. Mohd Ali Hasan yang merupakan Dekan Fakulti Bioteknologi dan Sains Molekul sebagai salah seorang penceramah untuk Asia Green Conference 2013 ini. Pengalaman dan kepakaran Prof. Dr. Mohd Ali Hasan dalam bidang Bioteknologi dan Sains Biomolekul telah menjadikan beliau sebagai sumber rujukan dalam bidang biomass, renewable energy dan waste utilization. Selain itu, beliau pernah menghadiri persidangan dan bengkel di serantau Asia dan di peringkat antarabangsa selain pernah berkhidmat sebagai wakil negara bagi Asia Biomass Association yang beribu pejabat di Tokyo, Jepun.

UPM yang merupakan Universiti penyelidikan yang membudayakan dan menyokong ‘Program HIJAU’, telah menyambut baik hasrat dan pelawaan pihak Tan Chong Education untuk mengadakan pameran (booth) pada hari berkenaan dan pameran ini diuruskan oleh Pejabat Pemasaran dan Komunikasi (MarComm). Selain itu, pihak Tan Chong Education turut menaja dua orang peserta dari UPM untuk menyertai Asia Green Conference 2013 ini. Keterangan lanjut mengenai program ini boleh dilihat menerusi paparan laman web http:// www.asiagreenconference.com.my.

Sebaik perbincangan selesai, wakil Pusat Hubungan dan Jaringan Industri telah dibawa melawat ke sekitar bilik kuliah dan ruangan bengkel yang telah diubahsuai menjadi ruang pembelajaran secara praktikal. Tan Chong Education (TCEdu) yang beroperasi di Jalan Kemajuan Petaling Jaya menawarkan Sijil Kemahiran Mara dalam bidang Automotif iaitu program Juruteknik Automotif, Juruteknik Kenderaan Motor dan Juruteknik Kanan Kenderaan Motor, kepada lepasan SPM dan telah melahirkan ribuan pelajar sehingga kini.

Oleh: Che Zailawati Abdul Ghani 

 

 

 


Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT HUBUNGAN DAN JARINGAN INDUSTRI (CiRNeT)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 1261
-
SXEaIA7~